daripada utusan malaysia
KUALA LUMPUR 10 Okt. - Perdana Menteri menegur sikap segelintir rakyat negara ini yang 'buat-buat buta sejarah' apabila mengatakan keamanan negara diperoleh secara percuma tanpa pertumpahan darah dan pengorbanan nyawa.
Sambil menegaskan bahawa golongan itu sebagai manusia yang tidak mengenang budi, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, segala kesenangan, keamanan dan kemewahan yang dinikmati hari ini mempunyai harga yang terpaksa dibayar dengan nilai teramat tinggi.
Menurut beliau, keamanan negara dibayar dengan nyawa dan kecacatan anggota badan oleh pasukan keselamatan terutama semasa zaman darurat menentang ancaman pengganas komunis.
"Betapa besarnya kesengsaraan mereka. Keluarga dan anak menitis air mata apabila menerima kepulangan bapa mereka sebagai jenazah. Sedih dan pilu (juga melanda) apabila keluarga mereka balik dengan tangan dan kaki kudung serta mata buta.
"Keluarga juga terpaksa menjaga bapa atau suami yang cacat kerana terkena jerangkap samar. Apakah perasaan mereka? Pernahkah golongan tidak mengenang budi ini cuba mengambil tahu?
"Kepada golongan yang tidak lalui zaman melawan komunis, jika tahu pun hanya melalui buku sejarah atau buat-buat buta sejarah. Mereka amat bernasib baik kerana tidak perlu membayar harga keamanan tetapi ia sebenarnya telah dibayar oleh pasukan keselamatan," katanya.
Perdana Menteri berkata demikian dalam ucapan sempena Perhimpunan Raksasa Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) di Stadium Putra Bukit Jalil di sini hari ini.
Najib seterusnya berkata, apakah gelaran yang perlu diberikan kepada mereka yang hidup senang tetapi tidak mengenang jasa dan pengorbanan yang telah disumbangkan oleh anggota keselamatan.
"Siapa kata keamanan yang dinikmati kini diperoleh secara percuma? Hanya mereka yang buta sejarah, hanya mereka yang tidak kenan budi, hanya mereka yang berusaha membawa balik pengganas Chin Peng sahaja kata begitu.
"Kira-kira 28 juta penduduk negara ini wajib berterima kasih kepada kira-kira 300,000 bekas tentera yang membayar harga keamanan ini, kerana atas pengorbanan merekalah menjadikan negara ini berkembang maju, hebat pada masa ini.
"Jika mereka ini tidak sanggup membayar harga keamanan ini, maka sesungguhnya kita semua tidak akan sama sekali menikmati apa yang diperoleh kini," katanya.
Seterusnya, Perdana Menteri menarik perhatian dengan membangkitkan bahawa para pejuang yang sanggup mengorbankan nyawa demi keamanan negara bukannya terhad kepada satu bangsa sahaja.
No comments:
Post a Comment