daripada utusan malaysia:
KUALA LUMPUR 8 Okt. - Jepun memilih dua bandar di Malaysia iaitu Putrajaya dan Cyberjaya sebagai model untuk membangunkan komuniti pintar berteraskan teknologi hijau.
Duta Jepun ke Malaysia Masahiko Horie berkata, Jepun kini sedang mempromosikan komuniti pintar selari dengan kemajuan global.
Horie berkata, komuniti pintar akan menggunakan sistem penjanaan tenaga baharu yang menggabungkan tenaga yang diperbaharui serta tenaga yang tidak digunakan.
Katanya, "Malaysia mencipta bandar-bandar seperti Putrajaya dan Cyberjaya dengan cantik, yang boleh diikuti oleh negara-negara lain.
''Wakil dari Jepun akan ke Putrajaya dan Cyberjaya tidak lama lagi untuk melihat sendiri bandar tersebut, " kata beliau pada satu sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Horie, usaha berkenaan adalah sebahagian agenda di bawah Inisiatif Kerjasama Jepun dan Malaysia di dalam Sektor Alam Sekitar dan Teknologi yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa melawat Jepun April lalu.
Kerjasama ini seterusnya diperkukuh menerusi lawatan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui ke Jepun, September lalu.
Menurut Horie, melalui kerjasama ini, diharapkan lebih banyak syarikat Jepun melabur di negara ini di dalam sektor teknologi hijau dan tenaga diperbaharui.
Tahun lalu, 1,400 syarikat Jepun melabur di Malaysia dan kebanyakannya adalah adalah dalam sektor pengilangan.
"Kami berharap dengan inisiatif di antara kedua negara semakin banyak syarikat kerjasama Malaysia-Jepun ditubuhkan bagi mengembangkan lagi sektor baru ini, " katanya.
Katanya, setakat ini cuma ada sebuah syarikat Jepun yang melabur di Malaysia di dalam sektor teknologi hijau dan tenaga diperbaharui iaitu Tokuyama Corporation.
Kata Horie, di bawah Inisiatif Kerjasama Jepun dan Malaysia dalam Sektor Alam Sekitar dan Teknologi, ia turut melibatkan kerjasama agensi berkaitan sains dan teknologi di Jepun, Universiti Kyoto dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam bidang penyelidikan.
Ketiga-tiga entiti ini akan menjalankan penyelidikan bersama berkaitan kaedah menjadikan sesebuah negara itu sebagai sebuah bandar yang mempunyai kadar pelepasan karbon dioksida yang rendah.
Sebagai permulaan, penyelidikan akan dijalankan di Iskandar, Malaysia.
Tambah Horie, Jepun juga bersedia untuk membantu Malaysia meningkatkan sistem air dirawat dan sistem kumbahan.
"Malaysia mempunyai banyak masalah berkaitan air tidak terhasil jadi satu delegasi daripada kerajaan Tokyo sudah melawat sungai di Pahang dan Selangor, Ogos lalu, "katanya.
No comments:
Post a Comment