Monday, March 14, 2011

Cabaran 'merakyatkan' penghuni Putrajaya

PADA suatu pagi Jumaat lepas, Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor didatangi seseorang. Di Tingkat 1 Pusat Khidmat Ahli Parlimen di Presint Diplomatik itu, beliau dikunjungi seorang wanita yang mengadu perihal perangai suaminya.
Si suami memberi tekanan kepadanya hingga tergamak memajakkan kad gajinya kepada ah long. Wanita itu tidak terkata apa, menangis dan pasrah.
"Inilah yang berlaku... masalah peribadi suami isteri, kita harap kakitangan kerajaan jangan terjerumus dalam masalah kewangan sehingga sanggup meminjam dengan ah long," kata beliau.
Ketika ditemui Utusan Malaysia Jumaat itu, Tengku Adnan, 60, baru sampai ke pusat khidmat parlimennya. Kedatangan beliau bukan sahaja dinantikan wartawan dan jurugambar Utusan Malaysia tetapi juga oleh beberapa penduduk Putrajaya yang menagih khidmat baktinya.
Di Putrajaya ketika ini penghuninya 99 peratus bekerja dengan kerajaan. Populasi penduduk kira-kira 70,000 orang dengan 15,000 hingga 20,000 unit rumah diduduki. Bagaimanapun daripada keseluruhan populasi, cuma 8,333 orang pengundi berdaftar.
Putrajaya asalnya ialah sebuah daerah di bawah Kerajaan Negeri Selangor. Lokasi Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang baru ini dikesan oleh Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad melalui tinjauan di merata-rata kawasan terutama sekali di Pahang. Akhirnya ditemui kawasan di selatan Prang Besar dan dilancarkan pembukaannya pada 1995. Perkataan "Putra" dipilih sempena nama Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Nama ini ditambah dengan perkataan "jaya" yang bermaksud "kecemerlangan".
Projek menyiapkan Putrajaya menelan belanja AS$$8.1 billion. Ia dibangunkan sebagai bandar metropolis seluas 14,800 hektar iaitu tiga per empat dari bandar Manhattan, New York.
Bercerita tentang Putrajaya, Tengku Adnan mengibaratkannya sebagai sebuah Felda. Dari segi penyediaan kemudahan, kata beliau, kekangannya adalah dari segi pengisian sosial dan cara pendekatan dengan masyarakat di situ.
"Putrajaya ibarat Felda yang tanam kelapa sawit. Di sini (Putrajaya), penghuninya datang daripada seluruh pelosok negara, ada dari Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Johor dan lain-lain negeri.
"Cabarannya ialah bagaimana kita hendak merapatkan hubungan dalam masyarakat. Mereka pada siangnya bekerja dan sebelah malam bersama keluarga, cuma pada hujung minggu boleh bertemu.
"Ini satu cabaran kepada saya untuk diatasi supaya Putrajaya menjadi kawasan kediaman yang ceria," katanya.
Mentadbir kawasan Parlimen Putrajaya, ada beberapa pendekatan yang dipraktikkan oleh Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung UMNO dan Barisan Nasional (BN). Beliau lebih gemar pada konsep dan corak mendekati rakyat.
Salah satu pendekatannya ialah memperkenalkan kad perubatan yang diberikan secara percuma kepada penduduk Putrajaya tidak berkemampuan yang berumur 50 tahun ke atas.
"Dengan adanya kad ini, pemegangnya boleh mendapatkan rawatan secara percuma untuk rawatan biasa seperti demam di klinik-klinik terbabit.
"Kita menyedari klinik komuniti sedia ada agak sesak, jadi ini merupakan satu tanggungjawab sosial disediakan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Putrajaya ini," katanya.
Selain itu, pusat khidmat turut menyediakan kemudahan van jenazah bukan sahaja untuk penduduk setempat tetapi juga yang datang dari luar Putrajaya.
Katakan, seorang ibu dari Johor Bahru datang menziarahi anak dan cucunya di Putrajaya. Dan atas takdir-Nya, si ibu itu menghembuskan nafas terakhir. Maka, van jenazah tersebut boleh digunakan menghantar jenazah untuk dikebumikan di kampung halaman di Johor. Setakat ini, perbatuan perjalanan van jenazah sudah melangkaui Bukit Kayu Hitam.
Pada masa sama, pusat khidmat Tengku Adnan turut memberi perhatian serius kepada soal pelajaran anak-anak penduduk. Antaranya, memberi sumbangan minimum antara RM500 hingga RM1,000 kepada pelajar yang berjaya masuk universiti selain hadiah berupa basikal kepada murid paling cemerlang di sekolah rendah dari Tahun 1 hingga Tahun 6.
Penumpuan kepada sekolah agama di Putrajaya juga tidak diketepikan. Pembelajaran agama dipertingkatkan untuk murid-murid sekolah rendah dan menengah. Baru-baru ini, sebuah sekolah rendah agama diwujudkan dengan pengambilan kira-kira 500 murid. Begitu juga dengan sekolah menengah agama di Presint 11 melibatkan pembukaan empat bilik darjah.
"Kita juga telah berbincang dengan Kementerian Pelajaran untuk menjadikan sekolah-sekolah agama ini sebagai Sekolah Agama Rakyat.
"Dalam aspek ini, saya menyarankan tidak perlu disediakan asrama. Ini kerana pelajar boleh berulang-alik kerana kediaman dekat dengan sekolah," katanya.
Mengenai masalah tempat letak kereta, Tengku Adnan memberitahu, pada peringkat awal pembinaan Putrajaya, penyediaan tempat meletak kereta terhad dengan dua buah rumah untuk satu petak letak kereta.
Tetapi dengan peningkatan taraf hidup dan pinjaman mudah bank, sesebuah rumah kini mempunyai sekurang-kurangnya dua atau tiga buah kereta. Apatah lagi, jika anak-anak dewasa tinggal sekali.
"Dalam hal ini, kita sudah meminta Putrajaya Holdings Sdn. Bhd. (PjH) berbuat sesuatu dan ia mencadangkan supaya tempat letak kereta bertingkat disediakan," katanya.
Ketika ini, kadar jenayah di Putrajaya dikategorikan pada tahap minimum.
Perbualan penulis dan Tengku Adnan terhenti apabila pegawai khasnya, Shokri Shafee memaklumkan berita satu kematian di kawasan berdekatan.
"Innalillahiwainnailaihirojiun," bisik Tengku Adnan sambil turun ke tingkat bawah.

sumber: utusan malaysia

No comments:

Post a Comment