“Saya berasa bangga menjadi seorang Muslim,” itu antara kata-kata yang diucapkan legenda tinju dunia, Mike Tyson ketika wartawan Mingguan Malaysia, Hafizahril Hamid menemuramah beliau bersama 40 wartawan lain dari seluruh dunia di New York atas tajaan Discovery Channel baru-baru ini.
Malah ketika penulis memperkenalkan diri dalam pertemuan tersebut, ucapan pertama Tyson adalah, “Assalamualaikum”, satu tamparan buat penulis sendiri yang gagal berbuat demikian.
Namun penulis berbangga kerana ucapan tersebut telah menjelaskan dua perkara. Pertama Tyson faham apabila penulis berkata dari Malaysia , beliau tahu bahawa Malaysia sebuah negara Islam dan keduanya ia sekaligus menjawab persoalan selama ini apakah beliau benar-benar seorang muslim. Namun bukan tugas kita untuk membuat andaian apakah bentuk Islam yang beliau amalkan. Tetapi yang jelas sepanjang wawancara itu berlangsung dan penulis adalah satu-satunya wartawan Malaysia yang turut serta dalam wawancara itu, Tyson cuba menonjolkan sisi sebenar dirinya. Memang beliau dilihat banyak bercakap dan adakalanya agak sebak ketika bercerita mengenai kematian anaknya, dan adakalanya pula agak keterlaluan kerana cuba menjadi peramah namun tidak kena pada tempat. Tetapi yang jelas beliau hanya mahu menjadi dirinya sendiri dan bukan orang lain.
Malah awal-awal lagi Tyson secara bergurau menyatakan beliau adalah orang yang sama dan mungkin boleh “menggigit” jika terlalu didesak. Tetapi Tyson berharap agar masyarakat memberinya peluang kedua untuk memperbaiki hidup untuk lebih baik.
Walau apa pun persepsi orang terhadap dirinya, seorang legenda tinju, lelaki terjahat di dunia atau seorang bapa yang penyayang, Tyson menegaskan Islam banyak membantu membentuk dirinya menjadi lebih baik dari sebelumnya.
Berikut adalah antara transkrip wawancara bersama Tyson yang berlangsung di The Rise, 14th Floor, Ritz Carlton Battery Park, New York.
Malah ketika penulis memperkenalkan diri dalam pertemuan tersebut, ucapan pertama Tyson adalah, “Assalamualaikum”, satu tamparan buat penulis sendiri yang gagal berbuat demikian.
Namun penulis berbangga kerana ucapan tersebut telah menjelaskan dua perkara. Pertama Tyson faham apabila penulis berkata dari Malaysia , beliau tahu bahawa Malaysia sebuah negara Islam dan keduanya ia sekaligus menjawab persoalan selama ini apakah beliau benar-benar seorang muslim. Namun bukan tugas kita untuk membuat andaian apakah bentuk Islam yang beliau amalkan. Tetapi yang jelas sepanjang wawancara itu berlangsung dan penulis adalah satu-satunya wartawan Malaysia yang turut serta dalam wawancara itu, Tyson cuba menonjolkan sisi sebenar dirinya. Memang beliau dilihat banyak bercakap dan adakalanya agak sebak ketika bercerita mengenai kematian anaknya, dan adakalanya pula agak keterlaluan kerana cuba menjadi peramah namun tidak kena pada tempat. Tetapi yang jelas beliau hanya mahu menjadi dirinya sendiri dan bukan orang lain.
Malah awal-awal lagi Tyson secara bergurau menyatakan beliau adalah orang yang sama dan mungkin boleh “menggigit” jika terlalu didesak. Tetapi Tyson berharap agar masyarakat memberinya peluang kedua untuk memperbaiki hidup untuk lebih baik.
Walau apa pun persepsi orang terhadap dirinya, seorang legenda tinju, lelaki terjahat di dunia atau seorang bapa yang penyayang, Tyson menegaskan Islam banyak membantu membentuk dirinya menjadi lebih baik dari sebelumnya.
Berikut adalah antara transkrip wawancara bersama Tyson yang berlangsung di The Rise, 14th Floor, Ritz Carlton Battery Park, New York.
MINGGUAN: Ramai yang mengatakan anda kini sudah berubah berbanding dahulu. Apa pandangan anda?
MIKE TYSON: Saya tidak berubah, saya masih orang yang sama dan melakukan perkara sama setiap hari. Saya masih lagi orang yang sama dan jika anda terlalu mendesak, saya akan tetap “menggigit” (ketawa). Cumanya saya tidak mahu hidup seperti mana yang pernah saya lalui sebelum ini. Saya tidak mahu anak-anak saya membesar seperti mana yang pernah saya lalui dahulu. Saya cuma mahu hidup seperti mana manusia lain dan kerana mahu hidup saya perlu berubah demi keluarga, rakan dan diri saya sendiri. Tapi secara umumnya saya tetap diri saya dan orang perlu menerima saya seadanya.
Mungkin anda mempunyai beberapa kekesalan dalam hidup?
MIKE TYSON: Saya mahu merasai kekesalan tentang apa yang telah saya lakukan tetapi saya tidak boleh bertindak demikian. Ini kerana jika saya mempunyai kekesalan saya tidak akan boleh untuk bangun kembali dan meneruskan kehidupan. Oleh itu saya tidak ada kekesalan dalam hidup dan saya tidak mahu memikirkan saya perlu lakukan ini dan itu sebelum ini. Mungkin saya akan berkata kenapa saya terlibat dalam kemalangan atau kenapa saya tidak berkahwin dengan wanita kulit putih dan sebagainya. Yang pasti tidak perlu ada kekesalan dan hidup perlu diteruskan.
Ketika anda menjalani zaman kejatuhan dahulu, apa yang membuatkan anda berazam untuk bangkit kembali?
MIKE TYSON: Ya, saya pernah jatuh dan adakalanya saya terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah. Namun satu hari saya sedar saya mempunyai kehidupan dan masa depan yang lebih baik. Saya mempunya tanggungjawab terhadap anak-anak. Memang ketika saya membesar saya bukan dari sebuah keluarga yang sempurna namun semakin matang saya sedar saya perlu keluar dari pusingan hidup yang tidak sihat. Adalah sesuatu yang menyedihkan jika saya masih terlibat dalam perkara yang tidak sepatutnya seperti sebelum ini. Namun saya belajar banyak perkara tentang diri saya antaranya saya menyedari bahawa saya senantiasa berasa tidak yakin pada diri sendiri.
Anda pernah dikelilingi pelbagai orang sebelum ini namun ramai antara mereka yang tidak kekal. Apa pandangan anda mengenai perkara ini?
MIKE TYSON: Ia adalah sesuatu yang lumrah dan ia senantiasa berlaku. Siapa yang akan kekal bersama selamanya malah ibu kita juga akan meninggalkan kita bila tiba masanya. Memang waktu di puncak ramai yang akan bersama kita dan apabila kita jatuh orang yang kita anggap kawan akan meninggalkan kita. Itu adalah sesuatu yang biasa dan kita tidak boleh menolak realiti hidup seperti itu. Memang adakalanya hidup tidak seperti yang kita mahukan tetapi mempunyai beberapa sahabat sejati yang kekal bersama pada waktu susah dan senang adalah satu pemberian dalam hidup.
Di manakah diri anda sekarang jika tidak terlibat dalam dunia tinju?
MIKE TYSON: Saya tidak tahu siapa saya kerana saya menyertai tinju sejak sekian lama. Mungkin ada orang akan menjadi pelayan atau masuk penjara tapi saya tidak tahu. Saya telah dedikasikan hidup saya dalam sukan tinju dan saya tidak dapat bayangkan hidup saya tanpa tinju.
Saya harap saya tahu tapi saya tidak dapat membayangkan atau menjawabnya. Saya bahagia dengan kehidupan saya sekarang. Tapi saya kini gemar memberi bimbingan kepada anak-anak muda yang baru berkecimpung dalam dunia tinju. Namun saya merasakan ia tidak akan menjadikan saya seorang jurulatih atau penasihat tinju secara berterusan. Saya mungkin hanya akan memberi bimbingan dan nasihat.
Boleh berikan tiga kualiti sebagai seorang jaguh dan apakah anda masih lagi kompetitif dalam sukan tinju?
MIKE TYSON: Bagi saya disiplin, keyakinan terhadap diri serta tidak berputus asa adalah kualiti yang perlu ada bagi seorang peninju yang mahu berjaya. Namun ia terpulang kepada mereka untuk bersikap fleksibel dan mengadaptasinya dengan keadaan sekeliling. Sebagai seorang jaguh mereka perlu ada kualiti sebegini kerana jika tidak mereka akan hanyut terlalu awal.
Apakah anda bercadang untuk kembali dalam arena tinju seperti mana George Foreman pernah menjadi juara pada usia 40-an?
MIKE TYSON: Itu adalah sesuatu perkara yang tidak akan berlaku. Saya tidak lagi berminat untuk berkecimpung secara aktif dalam sukan tinju, cukuplah sekadar memberi bimbingan dan nasihat kepada mereka yang lebih muda bagaimana untuk menjadi seorang jaguh tinju.
Mungkin anda boleh kongsikan apa yang anda lakukan dalam kehidupan seharian?
MIKE TYSON: Saya bangun pagi dan bersarapan bersama keluarga dan anak-anak. Kemudian berurusan dengan pelbagai kerja atau kontrak, mungkin akan menerima tawaran ataupun menolak tawaran kerja. Saya akan melakukan senaman pagi dan kemudian akan melayan kerenah anak-anak yang masih kecil berlari-lari di dalam rumah. Jika saya ada kerja atau penggambaran saya tidak berada di rumah untuk beberapa hari. Jika tidak saya akan bersama keluarga dan anak-anak hingga saya tidur dan ia adalah sesuatu yang sangat menyenangkan bagi saya ketika bersama orang yang saya cintai.
Pada pandangan anda apa yang membuatkan seorang lelaki itu benar-benar lelaki?
MIKE TYSON: Bagi saya ia adalah berserah diri kepada Tuhan (submission). Saya bukan lelaki yang boleh mengalahkan lawan seramai 200 orang. Mungkin ada orang di luar sana tetapi bukan saya. Tapi jika seseorang itu boleh tunduk dan patuh kepada Tuhan itu adalah lelaki sejati. Itu adalah lelaki yang sebenar dan mereka ini mudah didekati. Lelaki ini adalah seorang lelaki sebenar kerana kita boleh mendekati, menyentuhnya, kita tidak takut kepadanya malah menerimanya seperti mana dirinya yang sebenar dan lebih penting dia hidup seperti biasa di kalangan kita. Lelaki perlu sentiasa menjadi rendah diri dan saya sendiri sedang berusaha ke arah itu.
Apakah anda menyifatkan diri anda sebagai seorang yang rendah diri?
MIKE TYSON: Saya bukan seorang yang mengakui bersikap rendah diri. Bagaimana saya boleh katakan diri saya sebagai rendah diri kerana itu adalah dari pandangan orang lain dan bukan saya untuk menyatakan diri saya begitu. Kita tidak boleh berkata diri kita adalah seorang yang rendah diri dan itu sesuatu yang sangat pelik. Saya hanya berusaha untuk menjadi rendah diri sebaik mungkin dan itu yang sepatutnya. Namun yang pasti sehingga kini saya masih belum menyerah kalah dan senantiasa berusaha untuk menjadi rendah diri.
Anda sudah berlakon dan kini ke teater. Mungkin boleh kongsikan sesuatu?
MIKE TYSON: Saya akan berlakon teater dan ia adalah satu perkara yang sukar namun saya mahu lebih berkecimpung dalam pelbagai perkara seni yang lain. Mungkin saya dilihat melakukan perkara yang bodoh namun bagi saya kegiatan seni ini adalah salah satu cara untuk menunjukkan kebebasan. Ia membolehkan saya menjadi seseorang yang mana dalam kehidupan sebenar ia tidak berlaku. Saya pernah berlakon dalam filem Hangover sebelum ini dan saya akan turut terlibat dalam filem Hangover 2. Saya minat bidang lakonan kerana saya suka menghiburkan orang ramai. Saya mahu menghiburkan orang seperti mana saya melakukannya dalam dunia tinju sebelum ini.
Mungkin akan ada filem tentang anda dan siapa pelakon yang anda pilih untuk memegang watak anda?
MIKE TYSON: Ya, pernah berlaku beberapa perbincangan sebelum ini dan antara nama yang diberikan adalah Jamie Foxx. Mungkin dia sesuai untuk memegang watak saya tapi saya tidak tahu. Tapi hakikatnya saya tidak boleh menjadi seorang yang memilih. Maknanya saya mempunyai lapan orang anak untuk diberi makan dan saya perlu melakukan apa yang sepatutnya kerana saya perlukan wang untuk membesarkan keluarga saya.
Tapi masalahnya saya masih lagi hidup dan bagaimana untuk memfilemkan sesuatu apabila watak utamanya masih hidup. Saya tidak tahu mungkin ia tidak sesuai sekarang kerana saya masih berkemampuan untuk melakukan apa saja. Namun saya juga sedar bahawa hidup ini adalah terlalu pendek untuk menikmati semuanya. Mungkin saya pergi lebih awal kita tidak tahu mengenainya. Mungkin suatu hari nanti ada filem mengenai saya, saya tidak tahu.
Beberapa minggu selepas kematian anak perempuan, anda mengambil keputusan untuk berkahwin. Tapi boleh gambarkan keadaan ketika saat-saat berhadapan kematian anak anda?
MIKE TYSON: Ya saya berkahwin. Tapi saya tak tahu (sebak)..... Sukar saya gambarkan keadaan ketika itu. Saya tak tahu... Jiwa betul-betul kosong dan berasa sangat-sangat kehilangan. Mungkin saya boleh membunuh seseorang pada waktu itu.
Anda masih menetap di Las Vegas dan kenapa?
MIKE TYSON: Ya saya menetap di Vegas dan saya tinggal di sana kerana saya tidak ada wang. Mungkin saya boleh tinggal bersama anda yang ada banyak wang. (Ketawa).
Adakah anda masih menemui rakan-rakan atau jiran ketika tinggal di Brooklyn pada waktu kecil?
MIKE TYSON: Tidak ramai rakan yang saya temui ketika saya membesar ketika kecil di Brooklyn. Namun saya masih menghormati mereka walaupun tidak bersama kerana banyak kenangan pahit manis ketika bersama. Adakalanya ketika saya berada di kawasan tersebut saya akan berasa sedikit “seram” kerana terlalu banyak kenangan pahit akibat terlibat dalam kegiatan gengster ketika membesar. Yang penting sekarang saya mahu menjadi siapa diri saya dan saya harap orang lain boleh menerima diri saya.
Bagaimana anda melihat diri anda dalam masa 10 tahun akan datang?
MIKE TYSON: Saya hanya mahu menjadi diri saya dan saya bahagia dengan kehidupan saya sekarang. Saya berharap kehidupan saya masih kekal seperti sekarang dan juga berharap dapat mengawal ego saya daripada keterlaluan. Saya hanya mahu hidup dan menjalani hidup dengan lebih baik.
No comments:
Post a Comment